Currently,
this section is still under construction. Do not expect this page to be completed
within short period of time. Anyway, there are still few stuff that I already
post up here to share with you guys out there. Enjoy reading. ;)
Kelebihan
Ratib: Huraian Ratib Al-Habib Umar bin Abdul Rahman Al-Attas
Makna
Ratib
Perkataan
Ratib mempunyai banyak erti. Ratib yang dimaksudkan di sini berasal dari perkataan
(rattaba) bererti mengaturkan atau menyusun. Ratib adalah sesuatu yang tersusun,
teratur dengan rapinya. Sembahyang sunnah Rawatib adalah antara sembahyang-sembahyang
sunnah yang diamalkan pada waktu-waktu yang tertentu oleh Nabi s.a.w. Ratib
al-Attas mengandungi zikir, ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang telah sedia
tersusun oleh al-Habib Umar bin Abdul Rahman al-Attas yang juga dibaca pada
waktu-waktu yang tertentu.
Istilah
Ratib digunakan kebanyakkannya di negeri Hadhramaut dalam menyebut zikir-zikir
yang biasanya pendek dengan bilangan kiraan zikir yang sedikit (seperti
3, 7, 10, 11 dan 40 kali), senang diamalkan dan dibaca pada waktu-waktu
yang tertentu iaitu sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam.
Terdapat Ratib al-Haddad, Ratib al-Aidrus, Ratib al-Muhdhor dan lain-lain.
Keutamaan
Ratib
Berkata
sebilangan ulama ahli salaf, antara keutamaan ratib ini bagi mereka yang
tetap mengamalkannya, adalah dipanjangkan umur, mendapat Husnul-Khatimah,
menjaga segala kepunyaannya di laut dan di bumi dan senantiasa berada
dalam perlindungan Allah.
Bagi mereka yang mempunyai hajat yang tertentu, membaca ratib pada suatu
tempat yang kosong dengan berwuduk, mengadap kiblat dan berniat apa kehendaknya,
Insya-Allah dimustajabkan Allah. Para salaf berkata ia amat mujarrab dalam
menyampaikan segala permintaan jika dibacanya sebanyak 41 kali.
Antara kelebihan ratib ini adalah, ia menjaga rumahnya dan 40 rumah-rumah
jirannya dari kebakaran, kecurian dan terkena sihir. As-Syeikh Ali Baras
berkata: "Apabila dibaca dalam suatu kampung atau suatu tempat, ia mengamankan
ahlinya seperti dijaga oleh 70 pahlawan yang bekuda. Ratib ini mengandungi
rahsia-rahsia yang bermanfaat. Mereka yang tetap mengamalkannya akan diampunkan
Allah dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di laut."
Bagi mereka yang terkena sihir dan membaca ratib, Insya-Allah diselamatkan
Allah dengan berkat Asma' Allah, ayat-ayat al-Quran dan amalan Nabi Muhammad
s.a.w.
Al-Habib Husein bin Abdullah bin Muhammad bin Mohsen bin Husein al-Attas
berkata: "Mereka yang mengamalkan ratib dan terpatuk ular nescaya tidak
akan terjadi apa-apa pada dirinya. Bagi orang yang takut nescaya akan selamat
dari segala yang ditakuti. Pernah ada seorang yang diserang oleh 15 orang
pencuri dan dia selamat."
Pernah datang satu kumpulan mengadu akan hal mereka yang dikelilingi musuh.
Al-Habib Husein menyuruh mereka membaca ratib dan beliau jamin Insya-Allah
mereka akan selamat.
Ada sebuah kampung yang cukup yakin dengan Habib Umar al-Attas dan tidak
tinggal dalam membaca ratibnya. Kecil, besar, tua dan muda setiap malam
mereka membaca ratib beramai-ramai dengan suara yang kuat. Kebetulan kampung
itu mempunyai musuh yang hendak menyerang mereka. Kumpulan musuh ini menghantar
seorang pengintip untuk mencari rahsia tempat mereka supaya dapat diserang.
Kebetulan pada waktu si pengintip datang dengan sembunyi-sembunyi mereka
sedang membaca ratib dan sampai kepada zikir:
Ertinya: Dengan nama Allah, kami beriman kepada Allah dan barang siapa
yang beriman kepada Allah tiada takut baginya!
Mendengar
tiada takut baginya, dan diulangi sampai tiga kali, si pengintip
terus menjadi takut dan kembali lalu menceritakan kepada orang-orangnya
apa yang dia dengar dan mereka tidak jadi menyerang. Maka selamatlah kampung
itu.
Nama-nama
Ratib
Ratib
al-Habib Umar bin Abdurrahman ini mempunyai banyak nama. Antaranya adalah:
Ertinya: Sesuatu yang sukar diperolehi dan kunci bagi pintu penghubung
kepada Allah. Nama inilah yang dipilih oleh al-Habib Muhammad bin Salem
al-Attas apabila menyusun Ratib al-Habib Umar dalam bahasa Arab, Melayu
dan Tamil.
Ertinya: Kubu yang kukuh.
Ertinya: Belerang yang merah. Satu istilah bagi mentafsirkan sesuatu
benda yang amat berharga yang sukar didapati pada sebarang waktu atau tempat.
Ertinya: Pati segala zikir.
Ertinya: Magnet rahsia-rahsia bagi mereka yang tetap mengamalkannya pada
waktu malam dan siang.
Ertinya: Penawar bagi racun yang mujarrab. Menurut kata al-Habib
Husein bin Abdullah al-Attas, nama ini dinamakan oleh gurunya al-Habib Ahmad
bin Hasan apabila menerangkan kelebihan Ratib al-Habib Umar.
Ertinya: Sumber pencapaian dan kunci bagi pintu penghubung kepada Allah.
Nama ini hanya terdapat di Tajul A'ras oleh al-Habib Ali bin Husein
yang menerangkan bahawa dalam kitab al-Qirtas yang beliau perolehi tertulis
nama Ratib al-Attas sebagai Manhal al-Manal dan tidak Azizul Manal.
Sejarah
Ratib
Ratib
ini dikarang oleh al-Habib Umar bin Abdurrahman al-Attas dan sekarang telah
berusia kira-kira 400 tahun. Ratib ini sehingga kini banyak dibaca di negara-negara
seperti di Afrika termasuk Darussalam, Mombassa dan Afrika Selatan. Juga
di England, Burma (Myanmar), India dan negara-negara Arab. Di Afrika ia
disebarkan oleh murid-murid al-Habib Ahmad bin Hasan seperti al-Habib Ahmad
Masyhur al-Haddad dan lain-lain. Di India, Kemboja dan Burma oleh al-Habib
Abdullah bin Alawi al-Attas. Sehingga sekarang kumpulan-kumpulan ratib al-Habib
Umar atau Zawiyah masih diamalkan di Rangoon dan di beberapa daerah di Burma.
Tetapi mereka lebih terkenal di sana dengan Tariqah al-Attasiyah.
Ratib ini telah lama sampai di Malaya, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Antara keterangan ratib ini yang diterbitkan dalam bahasa Melayu di Singapura
adalah sebuah kitab kecil yang bernama Fathu Rabbin-Nas yang dikarang
oleh al-Habib Husein bin Abdullah bin Muhammad bin Mohsen bin Husein al-Attas.
Tarikh selesai karangan ini adalah pada pagi Jumaat 20hb Jumadil Awal 1342
(20hb Disember 1923). Ia diterbitkan dengan perbelanjaan C.H Kizar Muhammad
Ain Company pengedar kain pelekat cap kerusi yang beribu pejabat di Madras,
India dan dicetak oleh Qalam Singapura.
Pada tahun 1939, al-Habib Muhammad bin Salim al-Attas telah menerbitkan
sebuah kitab yang bernama Miftahul Imdad yang dicetak di Matbaah
al-Huda di Pulau Pinang. Kitab ini mengandungi wirid-wirid datuk beliau
al-Habib Ahmad bin Hasan al-Attas tetapi terdapat juga ratib al-habib Umar
bin Abdurrahman al-Attas di dalamnya.
Mengikut al-Habib Muhammad bin Salem al-Attas, al-Habib Hasan bin Ahmad
al-Attas pada suatu masa dahulu telah mencetak Ratib al-Attas menerusi percetakannya
Mutaaba'ah al-Attas (Al-Attas Press) yang pejabatnya terletak di Wadi Hasan,
Johor Bahru, Malaysia. Percetakan ini bergiat di Johor pada kira-kira tahun
1927.
Waktu
membaca Ratib al-Attas
Disebutkan
di dalam kitab al-Qirtas: "Telah menjadi tradisi bagi para sesepuh kami,
khususnya tradisi dari al-Habib Husein bin Umar membaca Ratib al-Attas adalah
setelah solat Isya'. Kebiasaan itu dilakukan oleh Habib Husein beserta pengikut-pengikutnya
secara turun-temurun kecuali di bulan Ramadhan. Adapun di bulan Ramadhan
bacaan ratib itu dibaca sebelum solat Isya'. Tetapi bagi yang gemar berzikir
banyak yang membaca ratib al-Attas ini di waktu pagi dan di waktu sore,
sebab di antara kalimat-kalimat yang dizikirkan ada zikir-zikir yang disunnahkan
untuk membacanya di waktu pagi dan di waktu sore seperti tertera di dalam
hadis-hadis Nabi s.a.w.
Dikatakan oleh Habib Ali bin Hasan al-Attas di dalam kitab al-Qirtas bahawa
Habib Umar suka membaca ratibnya secara rahsia tanpa suara, sebab beliau
menginginkan bacaan ratibnya itu lebih berkesan di hati yang membacanya
dan lebih ikhlas karena Allah. Hal itu sesuai dengan firman Allah:
"Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan
rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang,
dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai".(Al A'raf: 205)
Dan firman Allah:
"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya
seburuk-buruk suara ialah suara keledai".
(Luqman: 19)
Jika
ratib al-Attas ini dibaca secara berkelompok, maka hendaklah dibaca dengan
suara yang tiada terlalu keras dan tiada terlalu pelan, sesuai dengan firman
Allah:
"Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula
selalu merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya". (Al-Isra':
110)
Ratib
Habib Umar
Ratib
Habib Umar yang diberi nama Azizul Manal Wa Fathu Bab al-Wisol seperti
dikatakan oleh Habib Ali bin Hasan al-Attas di dalam kitab al-Qirtas bagian
kedua juz pertama: "Ratib Habib Umar merupakan hadiah yang tertinggi dari
Allah bagi umat Islam lewat Habib Umar." Peninggalan beliau yang paling mahal
hanyalah ratib yang beliau tinggalkan bagi umat ini. Ratib Habib Umar merupakan
wirid yang banyak mendatangkan faedah bagi yang membacanya setiap waktu, terutama
bagi yang sedang menghadapi kesulitan. Al-Habib Isa bin Muhammad al-Habsyi
mengatakan bahawa Habib Umar banyak sekali menyebutkan akan keutamaan-keutamaan
ratib ini. Pernah disebutkan bahawa ketika ada sekelompok orang datang kepada
Habib Umar mengeluh kesulitan pencarian dan lamanya musim kemarau yang menimpa
kepada mereka selama beberapa waktu. Mereka diperintah membaca Ratib beliau
dan dzikir Tauhid. Setelah mereka mengerjakannya, maka dengan berkat bacaan
itu, Allah memberi keluasan hidup bagi mereka.
Menurut Syeikh Ali Baras, jika Ratib Habib Umar dibacakan bagi penduduk suatu
desa atau bagi suatu keluarga, maka desa itu atau keluarga itu akan dipelihara
oleh Allah dengan peliharaan yang amat ketat. Selanjutnya Syeikh Ali berkata:
"Pernah aku diceritai oleh sebagian orang bahawa ketika mereka takut menghadapi
rampok yang akan menjarah rumah mereka, maka mereka membaca Ratib Habib Umar
sehingga rumah mereka tidak sampai dijarah oleh kaum perampok itu meskipun
jumlah mereka sebanyak 15 orang".
Dipetik
dari: Kelebihan Ratib: Huraian Ratib al-Habib Umar bin Abdul Rahman al-Attas,
oleh Syed Hassan bin Muhammad al-Attas, Masjid Ba'alwi Singapura, terbitan
Hamid Offset Service
...................................................................................................................
Kelebihan
Ratib Al-Haddad
Cerita-cerita
yang dikumpulkan mengenai kelebihan RatibAl-Haddad banyak tercatit dalam buku
Syarah Ratib Al-Haddad, antaranya;
Telah berkata Habib Abu Bakar bin Abdullah Al-Jufri yang bertempat tinggal
di Seiyun (Hadhramaut): "Pada suatu masa kami serombongan sedang menuju ke
Makkah untuk menunaikan Haji, bahtera kami terkandas tidak dapat meneruskan
perjalanannya kerana tidak ada angin yang menolaknya. Maka kami berlabuh di
sebuah pantai, lalu kami isikan gerbah-gerbah (tempat isi air terbuat dari
kulit) kami dengan air, dan kami pun berangkat berjalan kaki siang dan malam,
kerana kami bimbang akan ketinggalan Haji. Di suatu perhentian, kami cuba
meminum air dalam gerbah itu dan kami dapati airnya payau dan masin, lalu
kami buangkan air itu. Kami duduk tidak tahu apa yang mesti hendak dibuat.
Maka saya anjurkan rombongan kami itu untuk membaca Ratib Haddad ini, mudah-mudahan
Allah akan memberikan kelapangan dari perkara yang kami hadapi itu. Belum
sempat kami habis membacanya, tiba-tiba kami lihat dari kejauhan sekumpulan
orang yang sedang menunggang unta menuju ke tempat kami, kami bergembira sekali.
Tetapi bila mereka mendekati kami, kami dapati mereka itu perompak-perompak
yang kerap merampas harta-benda orang yang lalu-lalang di situ.
Namun rupanya
Allah Ta'ala telah melembutkan hati mereka bila mereka dapati kami terkandas
di situ, lalu mereka memberi kami minum dan mengajak kami menunggang unta
mereka untuk disampaikan kami ke tempat sekumpulan kaum Syarif*
tanpa diganggu kami sama sekali, dan dari situ kami pun berangkat lagi menuju
ke Haji, syukurlah atas bantuan Tuhan kerana berkat membaca Ratib ini.
Cerita
ini pula diberitakan oleh seorang yang mencintai keturunan Sayyid, katanya:
"Sekali peristiwa saya berangkat dari negeri Ahsa'i menuju ke Hufuf. Di perjalanan
itu saya terlihat kaum Badwi yang biasanya merampas hak orang yang melintasi
perjalanan itu. Saya pun berhenti dan duduk, di mana tempat itu pula saya
gariskan tanahnya mengelilingiku dan saya duduk di tengah-tengahnya membaca
Ratib ini. Dengan kuasa Tuhan mereka telah berlalu di hadapanku seperti orang
yang tidak menampakku, sedang aku memandang mereka."
Begitu juga pernah berlaku semacam itu kepada seorang alim yang mulia, namanya
Hasan bin Harun ketika dia keluar bersama-sama teman-temannya dari negerinya
di sudut Oman menuju ke Hadhramaut. Di perjalanan mereka terserempak dengan
gerombolan perompak, maka dia menyuruh orang-orang yang bersama-samanya
membaca Ratib ini. Alhamdulillah, gerombolan perompak itu tidak mengapa-apakan
sesiapa pun, malah mereka lalu dengan tidak mengganggu.
Apa
yang diberitakan oleh seorang Arif Billah Abdul Wahid bin Subait Az-Zarafi,
katanya: Ada seorang penguasa yang ganas yang dikenal dengan nama Tahmas
yang juga dikenal dengan nama Nadir Syah. Tahmas ini adalah seorang penguasa
ajam yang telah menguasai banyak dari negeri-negeri di sekitarannya. Dia
telah menyediakan tenteranya untuk memerangi negeri Aughan.
Sultan Aughan yang bernama Sulaiman mengutus orang kepada Imam Habib Abdullah
Haddad memberitahunya, bahwa Tahmas sedang menyiapkan tentera untuk menyerangnya.
Maka Habib Abdullah Haddad mengirim Ratib ini dan menyuruh Sultan Sulaiman
dan rakyatnya membacanya. Sultan Sulaiman pun mengamalkan bacaan Ratib ini
dan memerintahkan tenteranya dan sekalian rakyatnya untuk membaca Ratib
i ini dengan bertitah: "Kita tidak akan dapat dikuasai Tahmas kerana kita
ada benteng yang kuat, iaitu Ratib Haddad ini." Benarlah apa yang dikatakan
Sultan Sulaiman itu, bahwa negerinya terlepas dari penyerangan Tahmas dan
terselamat dari angkara penguasa yang ganas itu dengan sebab berkat Ratib
Haddad ini.
Saudara
penulis Syarah Ratib Al-Haddad ini yang bernama Abdullah bin Ahmad juga
pernah mengalami peristiwa yang sama, iaitu ketika dia berangkat dari negeri
Syiher menuju ke bandar Syugrah dengan kapal, tiba-tiba angin macet tiada
bertiup lagi, lalu kapal itu pun terkandas tidak bergerak lagi. Agak lama
kami menunggu namun tiada berhasil juga. Maka saya mengajak rakan-rakan
membaca Ratib ini , maka tidak berapa lama datang angin membawa kapal kami
ke penujuannya dengan selamat dengan berkat membaca Ratib ini.
Suatu
pengalaman lagi dari Sayyid Awadh Barakat Asy-Syathiri Ba'alawi ketika dia
belayar dengan kapal, lalu kapal itu telah sesat jalan sehingga membawanya
terkandas di pinggir sebuah batu karang. Ketika itu angin juga macet tidak
dapat menggerakkan kapal itu keluar dari bahayanya. Kami sekalian merasa
bimbang, lalu kami membaca Ratib ini dengan niat Allah akan menyelamatkan
kami. Maka dengan kuasa Allah datanglah angin dan menarik kami keluar dari
tempat itu menuju ke tempat penujuan kami.
Maka kerana itu saya amalkan membaca Ratib ini. Pada suatu malam saya
tertidur sebelum membacanya, lalu saya bermimpi Habib Abdullah Haddad datang
mengingatkanku supaya membaca Ratib ini, dan saya pun tersedar dari tidur
dan terus membaca Ratib Haddad itu.
Di
antaranya lagi apa yang diceritakan oleh Syeikh Allamah Sufi murid
Ahmad Asy-Syajjar, iaitu Muhammad bin Rumi Al-Hijazi, dia berkata: "Saya
bermimpi seolah-olah saya berada di hadapan Habib Abdullah Haddad, penyusun
Ratib ini. Tiba-tiba datang seorang lelaki memohon sesuatu daripada Habib
Abdullah Haddad, maka dia telah memberiku semacam rantai dan sayapun memberikannyakepada
orang itu.
Pada hari besoknya, datang kepadaku seorang lelaki dan meminta daripadaku
ijazah (kebenaran guru) untuk membaca Ratib Haddad ini, sebagaimana yang
diijazahkan kepadaku oleh guruku Ahmad Asy-Syajjar. Aku pun memberitahu
orang itu tentang mimpiku semalam, yakni ketika saya berada di majlis Habib
Abdullah Haddad, lalu ada seorang yang datang kepadanya. Kalau begitu, kataku,
engkaulah orang itu."
Dari kebiasaan Syeikh Al-Hijazi ini, dia selalu membaca Ratib Haddad
ketika saat ketakutan baik di siang hari mahupun malamnya, dan memang jika
dapat dibaca pada kedua-dua masa itulah yang paling utama, sebagaimana yang
dipesan oleh penyusun Ratib ini sendiri.
Ada seorang dari kota Quds (Syam) sesudah dihayatinya sendiri tentang
banyak kelebihan membaca Ratib ini, dia lalu membuat suatu ruang di sudut
rumahnya yang dinamakan Tempat Baca Ratib, di mana dikumpulkan orang untuk
mengamalkan bacaan Ratib ini di situ pada waktu siang dan malam.
Di
antaranya lagi, apa yang diberitakan oleh Sayyid Ali bin Hassan, penduduk
Mirbath, katanya: "Sekali peristiwa aku tertidur sebelum aku membaca Ratib,
aku lalu bermimpi datang kepadaku seorang Malaikat mengatakan kepadaku:
"Setiap malam kami para Malaikat berkhidmat buatmu begini dan begitu dari
bermacam-macam kebaikan, tetapi pada malam ini kami tidak membuat apa-apa
pun kerana engkau tidak membaca Ratib. Aku terus terjaga dari tidur lalu
membaca Ratib Haddad itu dengan serta-merta.
Setengah
kaum Sayyid bercerita tentang pengalamannya: "Jika aku tertidur ketika aku
membaca Ratib sebelum aku menghabiskan bacaannya, aku bermimpi melihat berbagai-bagai
hal yang menggerunkan, tetapi jika sudah menghabiskan bacaannya, tiada pula
bermimpi apa-apa pun."
Di
antara yang diberitakan lagi, bahawa seorang pecinta kaum Sayyid, Muhammad
bin Ibrahim bin Muhammad Mughairiban yang tinggal di negeri Shai'ar, dia
bercerita: "Dari adat kebiasaan Sidi Habib Zainul Abidin bin Ali bin Sidi
Abdullah Haddad yang selalu aku berkhidmat kepadanya tidak pernah sekalipun
meninggalkan bacaan Ratib ini. Tiba-tiba suatu malam kami tertidur pada
awal waktu Isya, kami tiada membaca Ratib dan tiada bersembahyang Isya,
semua orang termasuk Sidi Habib Zainul Abidin. Kami tiada sedarkan diri
melainkan di waktu pagi, di mana kami dapati sebahagian rumah kami terbakar.
Kini tahulah kami bahawa semua itu berlaku kerana tiada membaca Ratib
ini. Sebab itu kemudiannya kami tidak pernah meninggalkan bacaannya lagi,
dan apabila sudah membacanya kami merasa tenteram, tiada sesuatupun yang
akan membahayakan kami, dan kami tiada bimbang lagi terhadap rumah kami,
meskipun ia terbuat dari dedaunan korma, dan bila kami tiada membacanya,
hati kami tidak tenteram dan selalu kebimbangan."
Saya
rasa cukup dengan beberapa cerita yang saya sampaikan di sini mengenai kelebihan
Ratib ini dan anda sendiri dapat meneliti bicara yang saya catitkan di sini,
sehingga Sidi Habib Muhammad bin Zain bin Semait sendiri pernah mengatakan
dalam bukunya Ghayatul Qasd Wal Murad, bahawa roh Saiyidina penyusun
Ratib ini akan hadir apabila dibaca Ratib ini, dan di sana ada lagi rahasia-rahasia
kebatinan yang lain yang dapat dicapai ketika membacanya dan ini adalah mujarab
dan benar-benar mujarab, tiada perlu diragukan lagi.
Berkata Habib Alwi bin Ahmad, penulis Syarah Ratib Al-Haddad: "Siapa
yang melarang orang membaca Ratib ini dan juga wirid-wirid para salihin, nescaya
dia akan ditimpa bencana yang berat daripada Allah Ta'ala, dan hal ini pernah
berlaku dan bukan omong-omong kosong."
Berkata Sidi Habib Muhammad bin Zain bin Semait Ba'alawi di dalam kitabnya
Ghayatul Qasd Wal Murad: Telah berkata Saiyidina Habib Abdullah Haddad:
"Sesiapa yang menentang atau membangkang orang yang membaca Ratib kami ini
sama ada secara terang-terangan atau disembunyikan pembangkangannya itu akan
mendapat bencana seperti yang ditimpa ke atas orang-orang yang membelakangi
zikir dan wirid atau yang lalai hati mereka dari berzikir kepada Allah Ta'ala.
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingatiKu, maka baginya akan ditakdirkan
hidup yang sempit." ( Thaha: 124 )
Allah berfirman lagi: "Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingati
Tuhan Pemurah, Kami balakan baginya syaitan yang diambilnya menjadi teman."
( Az-Zukhruf: 36 )
Allah berfirman lagi: "Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingai
Tuhannya, Kami akan melorongkannya kepada seksa yang menyesakkan nafas."
( Al-Jin: 17)Apa lagi yang hendak diterangkan mengenai Ratib ini untuk mendorong
anda supaya melazimkan diri mengamalkan bacaannya setiap hari, sekurang-kurangnya
sehari setiap malam, mudah-mudahan anda akan terbuka hati untuk melakukannya
dan mendapat faedah daripada amalan ini.
*Syarif
atau Asyraf ialah orang-orang yang berketurunan dari Rasulullah SAW
yang juga dikenal dengan Sayyid (Syed)
Dipetik
dari: Syarah
Ratib Haddad: Analisa Dan Komentar - karangan Syed Ahmad Semait, terbitan
Pustaka Nasional Pte. Ltd.
...................................................................................................................