free web hosting | free hosting | Business Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
Search Engine Marketing | China Sourcing | Furnished Apartment Toronto | Text Link Marketing | Real Estate Web Site | Property Management Franchise | Barcelona Apartment For Rent | Car Detailing Maryland | Home Theater Seating | Inkjet Refilling Machines | Texas Private Christian School | Carpet Cleaning Atlanta | Messianic Ministry | Heywood Williams - Original Abstract Art | Eastern Mediterranean Travel | Energy Conservation Services Energy Audit | Online Shopping Mall | Laser Vaginal Rejuvenation
Perlantikan. Sayidina Umar bin Abdul Aziz, salah seorang khalifah Islam yang terkenal sangat adil, dilantik sebagai khalifah Bani Umaiyah yang ke-8 pada tahun 717 M. Khalifah sebelumnya, Sulaiman bin Abdul Malik (715-717). menerima nasihat dari wazirnya, Raja' bin Haiwah agar melantik Sayidina Umar menggantikannya. Abul A'la al-Maududi mengatakan Khalifah Umar adalah mujaddid pertama dalam sejarah Islam. Pemerintahannya selama dua tahun lebih (717-720 M) penuh keadilan, keamanan dan kesejahteraan. Beliau wafat akibat diracuni ketika berusia 39 tahun. Kematiannya bukan sahaja diratapi rakyat jelata, malah mengejutkan Maharaja Rom yang berkata: "Aku tidaklah terkejut jika seorang rahib membuang kenikmatan dunia lalu menyibukkan diri dengan beribadah. Tetapi aku sungguh kagum terhadap orang ini (Umar) yang memiliki empayar besar dalam genggamannya, tetapi menolaknya dan hidup sebagai seorang rahib..."
...................................................................................................................
Keajaiban. Imam Asy-Syafi'i dan An-Nasyiri mengatakan bahawa binatang-binatang juga berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram), hari yang disunatkan berpuasa. Ada seorang lelaki bernama Fatah bin Syuhruf yang sangat suka memberikan roti yang dipotong kecil-kecil sebagai makanan kepada semut. Ia melakukannya setiap hari. Tetapi bila tiba hari Asyura dia mendapati semut-semut itu tidak mahu makan roti tersebut.
...................................................................................................................
Ghaib. Sayidina Qutham bin Abbas, sepupu kepada Rasulullah SAW adalah perintis masuknya Islam ke Uzbekistan. Sebelumnya beliau pernah diamanahkan menjadi wakil baginda di Makkah dan sering menjadi pengiring Sayidatina Aisyah. Rasulullah mengakui bahawa Qutham sangat mirip dengan baginda dari segi rupa paras dan peribadi. Semasa membawa misi dakwah di Uzbekistan, beliau terpaksa berdepan dengan penentang dari kalangan penyembah berhala dan penganut Kristian Koptik. Kemuncaknya iaitu apabila beliau dipancung semasa sedang bersembahyang. Kepalanya terpisah dari badan. Dengan izin Allah berlaku karamah yang tidak diduga-duga. Jasad tanpa kepala itu lalu bangun, kemudian mengambil semula kepalanya dari lantai dan menyambungkannya kembali. Lalu beliau pun menghilang. Di tempat beliau ghaib itulah didirikan maqamnya sehingga ke hari ini masih boleh ditemui di Samarqand. Uzbekistan.
...................................................................................................................

Keutamaan Ahlul-Bait
Fatwa dari seorang ulama besar dan Mufti rasmi Kerajaan Saudi Arabia dari kalangan mazhab Al-Wahhabiyah, iaitu Al-'Allahmah Al-Mufti Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, yang dimuat dalam majalah 'Almadinah', halaman 9, nombor 5692, tanggal 7 Muharram 1402H / 24 Oktober 1982 Masihi.

Seorang saudara dari Iraq mengajukan pertanyaan, bahawa sementara orang di negeri itu terkenal sebagai golongan "Sayyid" atau sebagai anak-cucu keturunan Rasulullah s.a.w. Akan tetapi menurut keyakinan saya - demikian kata saudara tersebut, mereka memperlakukan orang lain dengan perlakuan yang tidak semestinya mereka lakukan. Saya sendiri tidak tahu, apakah keyakinan saya itu benar atau salah. Yang saya anggap penting ialah bahawa mereka itu memungut wang dari orang lain sebagai imbalan atas tulisan dan doa-doa yang mereka berikan untuk orang sakit dan lain sebagainya. Mereka juga menerima sadaqah baik yang berupa ternak sembelihan maupun wang dan lain-lain. Dengan perbuatan seperti itu, mereka membangkitkan keraguan orang banyak dan seterusnya.

Jawab atas pertanyaan tersebut ialah:
Orang-orang seperti mereka itu terdapat di berbagai tempat dan negeri. Mereka terkenal juga dengan gelaran "Syarif". Sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang mengetahui, mereka itu berasal dari keturunan Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. Di antara mereka itu ada yang silsilahnya berasal dari al-Hasan r.a. dan ada pula yang berasal dari al-Hussein r.a.; ada yang dikenal dengan gelar "Sayyid" dan ada juga yang dikenal dengan gelar "Syarif". Itu merupakan kenyataan yang diketahui umum di Yaman dan di negeri-negeri lain."

Mereka itu sesungguhnya wajib bertaqwa kepada Allah dan harus menjaga diri dari hal-hal yang diharamkan Allah bagi mereka. Semestinya mereka itu harus menjadi orang-orang yang paling menjauhi segala macam keburukan. Kemuliaan silsilah merka wajib dihormati dan tidak boleh disalahgunakan oleh orang yang bersangkutan. Jika mereka diberi sesuatu dari Baitulmal itu memang telah menjadi hak yang dikaruniakan Allah kepada mereka. Pemberian halal lainnya yang bukan zakat, tidak ada salahnya kalau mereka itu mau menerimanya. Akan tetapi, kalau silsilah yang mulia itu disalahgunakan, lalu ia beranggapan bahawa orang yang mempunyai silsilah itu dapat mewajibkan orang lain supaya memberi ini dan itu, sungguh itu merupakan perbuatan yang tidak patut. Keturunan Rasulullah s.a.w. adalah keturunan yang termulia dan Bani Hasyim adalah yang paling afdhal di kalangan orang-orang Arab. Karenanya tidak patut kalau mereka melakukan sesuatu yang mencemarkan kemuliaan martabat mereka sendiri, baik berupa perbuatan, ucapan atau perilaku yang rendah.

Adapun soal menghormati mereka, mengakui keutamaan mereka dan memberikan kepada mereka apa yang telah menjadi hak mereka, atau memberi maaf atas kesalahan mereka terhadap orang lain dan tidak mempersoalkan kekeliruan mereka yang tidak menyentuh soal agama, semuanya itu adalah kebajikan. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. berulang-ulang mengingatkani: 
"Kalian kuingatkan kepada Allah akan Ahlul-Baitku... kalian kuingatkan kepada Allah akan Ahlul-Baitku". Jadi berbuat baik terhadap mereka, memaafkan kekeliruan mereka yang bersifat peribadi, menghargai mereka sesuai dengan derajatnya, dan membantu mereka pada saat-saat yang diperlukan, semuanya itu merupakan perbuatan baik dan kebajikan kepada mereka.
Demikianlah fatwa al-Mukarram Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz mengenai kedudukan para keturunan Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. di tengah-tengah masyarakat. Saya fikir kedudukan seperti itu perlu difahami oleh kaum Muslimin, terutamanya oleh para keturunan Ahlul-Bait sendiri sebagai pihak yang paling berkewajipan menjaga kemuliaan martabat Rasulullah s.a.w. dan para Ahlul-Baitnya. Suatu kekeliruan atau kelengahan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan setajam disorot oleh masyarakat seperti kekeliruan atau kelengahan  yang dilakukan oleh seorang dari keturunan  Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. Ini wajar kerana mereka itu dipandang oleh masyarakat sekitarnya sebagai teladan dalam kehidupan sehari-hari.

Dipetik dari: Keutamaan Keluarga Rasulullah s.a.w - karangan K.H. Abdullah bin Nuh, terbitan Klang Book Centre, halaman vii-ix.

...................................................................................................................

Pokok-pokok pengertian yang melandasi kewajipan mencintai dan menghormati Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. dan keturunannya

Dari ayat-ayat suci Al-Quranul Karim, dari hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh para sahabat beliau, dan dari pendapat para Imamul-Mujtahidin serta para ulama; yang telah kami paparkan dalam buku ini, semuanya merupakan dalil-dalil syar'iy yang mendasar dan kuat tentang kewajipan setiap orang beriman mencintai dan menghormati ahlubait Rasulullah s.a.w. beserta semua keturunan mereka, semata-mata demi karena Allah dan Rasul-Nya.

Dari semua uraian yang terdapat di dalam buku ini, pembaca dapat memperoleh pokok-pokok pengertian yang melandasi kewajipan mencintai dan menghormati Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. dan keturunannya. Pokok-pokok pengertian itu ringkasnya sebagai berikut:

Mengingat kesemuanya itu, sebagai penutup tulisan kami dalam buku ini, kami berseru agar kaum Muslimin tidak enggan membantu kesukaran para ahlubait Rasulullah s.a.w., mau belajar kepada mereka yang berilmu dan mengajar mereka yang kurang mendalam ilmunya. Kebaikan dan kesentosaan kaum Muslimin banyak kaitannya dengan kebaikan dan kesentosaan mereka. Mereka adalah bahtera keselamatan bagi kaum Muslimin, tak ubahnya dengan bintang-bintang di langit yang mejadi petunjuk jalan dalam perjalanan gelap di tengah samudera. Beruntunglah orang-orang yang memelihara hubungan baik dengan ahlubait, kaum kerabat Rasulullah s.a.w. dan keturunan mereka. Bahagialah orang-orang yang dengan syafaat Rasulullah s.a.w. akan memperoleh kebahagiaan hidup kekal di akhirat. Alangkah nikmatnya orang-orang yang dengan keredhaan Allah dan Rasul-Nya memperoleh kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Dipetik dari: Keutamaan Keluarga Rasulullah s.a.w - karangan K.H. Abdullah bin Nuh, terbitan Klang Book Centre, halaman 239-242.

...................................................................................................................


Wasiat dan Nasihat Kepada Ahlil Bait
Adaptasi daripada kata-kata Asy Syarif Hussin bin Amirul Mukminin Al Mansur Billah Al Qasim bin Muhammad Al Hasani r.a di dalam risalahnya Adab Al Ulama' Wal Mut'alamin.

Hendaklah kalian melipat gandakan keazaman dan usaha di dalam menimba ilmu-ilmu syariat khususnya Al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. yang mulia. Ini kerana Ahlil Bait merupakan orang yang mempunyai prioriti dan lebih berhak menimba ilmu kerana para salaf (orang terdahulu) di kalangan kalian sentiasa karam di dalam lautan menimba ilmu. Sesungguhnya ilmu syariat tidak muncul dan terserlah melainkan berakar daripada ahli keluarga kalian yang mulia. Bagaimana pula kalian tidak mengambil berat dengannya pada hari ini.

Hendaklah kalian mensucikan hati dari segala kekotoran, dengki kesumat, akhlak yang keji dan akidah yang rosak kerana ia merupakan penyakit-penyakit yang mengotorkan hati. Apabila baik hati seseorang kerana ilmu maka akan lahir suatu keberkatan. Jangan sesekali kalian menjadikan ilmu sebagai jambatan untuk mendapat keuntungan duniawi seperti mengejar pangkat, kedudukan dan harta dunia. Perbuatan kalian hanya akan menghapuskan kebaikan amalan yang kalian lakukan, melenyapkan cahaya ilmu dan mensia-siakan pengabdian kalian dan akhirnya kalian menjadi seorang yang tidak dimanfaatkan Allah dengan ilmunya.

Jauhilah diri segala perkara yang keji di sisi syara' kerana perkara yang buruk yang dilakukan oleh ahlil bait adalah lebih keji dari perkara buruk yang dilakukan oleh orang lain. Oleh kerana itulah, Al Abbas r.a berkata kepada anaknya Abdullah sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Tarikh Damsyik:
"Wahai anakku! Sesungguhnya tidak ada perbuatan menipu yang lebih buruk daripada penipuan yang dilakukan oleh aku, kamu dan ahlil baitku.
Al Hasan telah mengungkapkan: Sesungguhnya aku takut digandakan balasan azab bagi orang yang melakukan maksiat di kalangan kami. Demi Allah! Sesungguhnya aku mengharapkan agar Allah memberikan balasan sebanyak dua kali kepada orang yang melakukan kebaikan di kalangan kami".
Leburkan perasaan meninggi diri dan berbangga dengan keturunan nenek moyang kalian sehinggakan kalian meninggalkan usaha untuk melakukan sesuatu kelebihan agama.

Unjurkan langkah dan juruskan mata hati kalian untuk menjejaki jejak-jejak orang-orang yang terdahulu di kalangan kalian dalam merenangi lautan tawadhu' mereka, kelembutan dan kesabaran mereka menghadapi segala ujian dan keperitan dengan mengingati firman Allah Ta'ala di dalam surah Al Luqman ayat 17:
"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakuknya".
Sesungguhnya Nabi kami s.a.w. dan Nabi-nabi a.s. yang lain sentiasa bersabar di atas segala keperitan dan apa sahaja bebanan yang mereka pikul di dalam menegakkan agama Allah, sehingga mereka mendapat balasannya pada hari pembalasan. Sepatutnya ahlil bait nabawi mengikut dan menyusuri jejak langkah, petunjuk dan cahaya mereka. Begitu juga mengikut kata-kata, perbuatan, kezuhudan, kewarakan dan cara-cara mereka di dalam mengenal Tuhan mereka.

Oleh: Khuwaidim Aalil Bait Rasulillah s.a.w
Muhammad Fuad bin Kamaludin Ar Rembawi

Dipetik dari: Al Muhajir (Rejab 1421 H)

...................................................................................................................


Thariqah Para Salaf Kita
Diambil dari Al-Maslak Al-Qarib, karya Al-Imam Thohir bin Husin Bin Thohir Ba'alawi

Sesungguhnya thariqah Alawiyah adalah suatu thariqah dari golongan sufi yang berdasarkan di atas: Oleh yang demikian, perkara yang harus dilakukan oleh setiap orang yang mengikuti thariqah ini ialah: Oleh sebab itu, ramai di kalangan orang yang telah mendahului kita yang dapat sampai kepada darjat (maqam) ijtihad, bahkan tidak sedikit yang sampai kepada darjat tertinggi dari tingkat para wali iaitu darjat (maqam) As-Sidqiyyah Al-Kubra.

Begitulah keadaan mereka, selalu berjalan di jalur yang telah dilalui oleh para pendahulu mereka tanpa ada penyimpangan sedikitpun. Pada zahirnya mereka menjalankan ilmu-ilmu dan mengamalkannya, dan pada batinnya mereka sering berusaha memantapkan  darjat pendekatan kepada Allah  dan menjaga keadaan hati (Al Ahwaal). Sedangkan tingkah laku mereka adalah selalu menjaga keadaan-keadaan batin agar jangan sampai mengalami degradasi. Dan ilmu mereka adalah sesuai dengan yang diajarkan oleh para ulama.

Mereka tidak berkeinginan untuk menampakkan keadaan mereka yang sebenarnya. Tetapi mereka ingin selalu mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan cara memberi wasiat yang baik kepada sesama manusia seperti bertaqwa kepada Allah. Mereka juga mendekatkan diri mereka kepada Allah dengan banyak berzikir, memakai khirqoh (selendang yang biasanya dipakai oleh kaum sufi), berkhalwat (menghindarkan diri dari buruk tingkah laku untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala). juga dengan bermujahadah (memerangi hawa nafsu).

Selain  itu, mereka juga sering mengikat tali persaudaraan kerana Allah Taala. Cara mereka dalam bermujahadah adalah dengan membersihkan hati mereka dari segala sesuatu yang tidak baik, mempersiapkan diri untuk mendapatkan kurniaan-kurniaan dari Allah Taala, dan selalu berjalan di atas jalan yang telah mendapat petunjuk.

Di antara mereka, para Saadatuna Ba'alawi di dalam jalan dakwah mereka untuk mengajak manusia menyesuaikan diri dengan jalan yang mereka jalani ialah dengan cara mengadakan majlis-majlis ilmu. Selain dari itu, ada di antara mereka yang melakukan cara bercampur-gaul dengan masyarakat sambil menyebarkan dakwah mereka dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Mereka adalah suatu golongan yang siapapun bergaul atau berkumpul dengan mereka maka dia tidak akan tersesat atau merasa hina. Sedangkan orang yang memisahkan diri dari mereka baik orang tersebut dari golongan mereka atau tidak maka orang tersebut akan dikumpulkan nanti pada hari kiamat dengan orang yang mereka ikuti. Hal ini sesuai dengan hadith Nabi SAW bahawa seseorang akan dikumpulkan dengan orang yang dicintainya pada hari kiamat.

Oleh yang demikian, kamu akan menyaksikan amalan-amalan yang telah mereka lakukan seperti mengerjakan amalan yang wajib dan meninggalkan segala bentuk hal-hal yang diharamkan. Mereka selalu mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan seluruh perbuatan yang disunnahkan oleh agama serta menjauhkan diri dari perbuatan yang makruh menurut syariat.

Bahkan mereka meninggalkan mubah (hal-hal yang boleh dilakukan) tetapi di dalamnya masih mengandungi syahwat.

Mereka menghiasi diri mereka dengan budi pekerti dan sifat-sifat yang luhur. Mereka menghilangkan diri dari segala sifat-sifat buruk dan aniaya sehingga nampaklah dari mereka karamah seperti mereka dapat mengetahui hal-hal yang ghaib dan sebagainya yang merupakan di luar jangkauan akal manusia biasa.

Sebenarnya mereka tidaklah menginginkan karamah yang luar biasa itu tampak dari mereka. Mereka merasa bahawa dengan beristiqamah dalam amalan mereka itu maka cukuplah hal itu adalah suatu karamah. Tetapi karamah mereka itu merupakan suatu bukti dari Allah Taala bahawa mereka inilah pewaris dan pengikut yang sempurna dari jejak Nabi Muhammad SAW.

Wahai saudaraku sekalian, berusahalah dengan sekuat tenagamu untuk berjalan di atas thariqah yang mulia ini, kerana sesungguhnya untuk mengikutinya dengan sempurna memang amat sulit bagi orang awam kecuali bagi orang-orang yang telah dikurniakan oleh Allah Taala seperti para Auliya yang tinggi kedudukannya di sisi Alla Taala, sepertimana Rasulullah SAW bersabda:
"Luruskanlah, dekatilah, gembirakanlah (perkara dakwahmu) dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga disebabkan oleh amalannya, begitu juga aku, kecuali orang-orang yang Allah kurniakan rahmat dan keampunan-Nya" (H.R Imam Ahmad)

Diriwayatkan di dalam hadith Bukhari dan Muslim dari Sayyidatina Aisyah r.a.  berkata (mengenai hadith tersebut di atas) iaitu "Dekatilah", bahawa Rasulullah SAW tidak mengatakan kira-kiralah, sempurnakanlah, selesaikanlah suatu urusan itu sampai pada puncaknya. Hal itu disebabkan oleh terbatasnya manusia dalam melaksanakan suatu amalan. Oleh sebab itu, seseorang apabila mendekati suatu urusan, maka bagaimanapun juga dia akan mendapatkan balasan dari urusan itu.

"Ya Allah, berilah kami taufiq untuk mendapatkan keredhaan-Mu, dan jadikanlah kami orang yang Engkau cintai, dan berilah kenikmatan dari curahan rahmat-Mu. Amin..."

Barangsiapa yang ingin mengetahui keadaan orang-orang yang mempunyai silsilah emas (para Wali Allah) maka bacalah bagian akhir dari kitab Asaasul Islam, dan barangsiapa yang ingin mengetahui riwayat hidup mereka, silakan membaca kitab Kanzil Baraahin dan Masyrour Rawy.

Berkata Sayyidina Syeikh Soleh Al-Ja'afari dalam sya'irnya:

Sesungguhnya jalan yang benar sangatlah mudah untuk dilalui,
oleh orang yang mendapatkan nur Ilahi dalam perbuatan dan perkataannya.
Mereka melihat jalan lurus terbentang di hadapan matanya,
yang tidak ada lagi jalan yang lebih benar dari jalan itu.
Jalan itu tidak akan didapati hanya dengan mengingat dan berfikir,
atau dengan ajakan dan mengikut hawa nfsu untuk saling berbantahan.
Tidaklah para penyeru ke jalan ini mendapatkannya,
kecuali dengan hati yang bersih dan menghapus segala yang merosakkannya...
Dipetik dari: Al Muhajir (Rejab 1421 H)

...................................................................................................................


Menjaga Kesabaran Hati
Diambil dari kitab Menyingkap Rahasia Hati, terjemahan Miftaahus Sarooir wa Kanzudz Dzakhooir, karangan Syeikh Abu Bakar bin Salim, hal 73 - 74, penerbit Putera Riyadi Solo.

Pada suatu hari, Syeikh Abu Bakar bin Salim berniat untuk mempelajari ilmu daripada Syeikh Ma'ruf Bajammal yang tinggal di kota Syibam. Namun beliau terpaksa berhenti di pinggir kota Syibam kerana Syeikh Ma'ruf masih belum mahu menemuinya. Setiap kali dikatakan kepada Syeikh Ma'ruf: "Anak Salim bin Abdullah  meminta kebenaran untuk menemuimu", beliau sering menjawab: "Katakan kepadanya bahawa aku belum berkenan untuk menerimanya".

Walaupun ayah Syeikh Abu Bakar merupakan seorang yang dihormati karena kesolehannya, Syeikh Abu Bakar tidak pernah bersikap sombong dan marah di atas perlakuan syeikh tersebut, malah beliau tetap bersabar menunggu di bawah terik matahari dan dinginnya angin malam. Setelah 40 hari, beliau menerima khabar bahawa Syeikh Ma'ruf bersedia untuk menemuinya. Dengan berkat kesabarannya, dalam waktu yang singkat sahaja beliau telah dapat menyerap ilmu yang disampaikan oleh gurunya.

Dipetik dari:
Al Muhajir (Rejab 1421 H)

...................................................................................................................


Rasulullah S.A.W: Role Model Sepanjang Zaman
Amalan - Amalan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah yang kekal (istiqamah) sekalipun sedikit. (Riwayat Termizi dan Nasa'i daripada Aisyah dan Ummu Salamah)
Tahajjud - Rasulullah bangun menghidupkan malam (tahajjud) hingga bengkaklah kedua kaki baginda. (Riwayat Bukhari, Muslim, Termizi, Nasa'i Ibnu Majah kepada Mughirah)
Puasa - Rasulullah berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. (Riwayat Ibnu Majah)
Pakaian - Adalah pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah SAW ialah gamis. (Riwayat Abu Daud, Termizi, Hakim daripada Ummu Salamah)
Berserban - Apabila Rasulullah berserban baginda akan melabuhkan ekor serbannya antara dua bahunya. (Riwayaat at-Termizi daripada Ibnu Umar)
Bertemu - Adalah Rasulullah SAW apabila mendatangi rumah seseorang, baginda tidak akan berdiri menghadap di hadapan pintu akan tetapi baginda akan berdiri di sebelah kanan atau kiri pintu sambil mengucapkan Assalamualaikum, Assalamualaikum. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Abdullah bin Bisr)
Sujud Syukur - Apabila Rasulullah SAW didatangi dengan berita yang menggembirakan hatinya, baginda akan terus sujud sebagai tanda syukur pada Allah SWT. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Bakrah)
Berbaring - Apabila Rasulullah SAW hendak berbaring (untuk tidur), baginda akan meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya. (Riwayat Tabrani daripada Hafsah)
Makan - Adalah Rasulullah SAW apabila baginda makan tengahari, baginda tidak akan makan malam lagi dan jikalau baginda makan malam, baginda tidak akan makan tengahari. (Riwayat Abi Na'im daripada Abi Sa'id)
Berwudhuk - Apabila Rasulullah SAW berwudhuk, baginda akan menyelati janggutnya dengan air. (Riwayat Tabrani daripada Ibnu Umar)
Ketawa - Apabila Rasulullah SAW ketawa, baginda meletakkan tangannya di atas mulutnya. (Riwayat Bughawi daripada Walid Murrah)
Istighfar - Apabila Rasulullah menghadiri satu majlis kemudian hendak bangun meninggalkannya, baginda akan beristighfar sebanyak sepuluh hingga lima belas kali. (Riwayat Ibnus Sinni daripada Abi Umamah)
Berani - Adalah Nabi SAW orang yang paling baik, paling pemurah dan paling berani. (Riwayat Bukhari, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah dari Anas)
Benci dusta - Adalah perangai yang paling dibenci olehnya (Nabi SAW) ialah dusta. (Riwayat Baihaqi dari Aisyah)
Marah  - Apabila Rasulullah marah dan baginda dalam keadaan berdiri, baginda akan duduk, dan jikalau sedang duduk, baginda akan berbaring hingga hilanglah marahnya. (Riwayat Tabrani daripada Ibnu Mas'ud dan Ummu Salamah)
Beri salam kepada kanak-kanak - Apabila Rasulullah lalu di hadapan kanak-kanak, Rasulullah akan memberi salam. (Riwayat Bukhari kepada Anas)
Memotong kuku - Rasulullah memotong kuku dan menggunting misalnya pada hari Jumaat sebelum keluar sembahyang. (Riwayat Baihaqi kepada Abi Hurairah)
Menerima berita - Apabila Rasulullah SAW didatangi dengan perkara (berita) yang menggembirakannya, baginda akan berkata "Alhamdulillahillazi bi ni'matihi tatimmus solihat", dan apabila baginda didatangi perkara yang buruk, baginda akan berkata "Alhamdulillahi 'ala kulli hal". (Riwayat Ibnus Sinni dan Hakim daripada Aisyah)

Dipetik dari:
Dunia Baru, Mei 1996

...................................................................................................................

Imam Hanbali: Hafalan Hadisnya Sebanyak Muatan 12 Ekor Unta
" Cukuplah bagiku Hadis ini dan semoga Allah akan menyampaikan harapanmu kelak..."
 
Imam Ahmad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbali sangat memuliakan ahli Hadis kerana baginya ahli Hadis senantiasa memperkatakan perkara yang benar dan selaras dengan syariat. Malah beliau sanggup pergi walau ke mana saja terdapatnya ahli hadis tanpa memikirkan rintangan yang bakal dihadapinya. Pernah suatu ketika beliau mendengar terdapat seorang perawi yang masyhur di Syam. Tanpa melengahkan masa, beliau terus pergi mendapatkan perawi tersebut. Sesampai saja di sana, Imam Hanbali mendapati perawi itu sedang memberi makan seekor anjing. Beliau lantas memberi salam. Perawi itu menjawab salam, namun sedikitpun tidak menoleh ke arah tetamunya itu. Malah terus memberi anjing itu makan.

 "Apakah engkau marah kepadaku?"soal perawi itu kepada Imam Hanbali sebaik saja dia selesai melaksanakan kerjanya. Sebenarnya Imam Hanbali kurang senang dengan layanan perawi itu. Lantas beliau mengiyakannya. 

Perawi tersebut kemudian berkata, "Di negeriku ini tidak ada anjing. Tetapi anjing ini mengikutiku kerana ia lapar dan dahaga. Dengan memberinya makan dan minum, aku merasa telah menunaikan tanggungjawabku seperti yang telah disampaikan kepadaku oleh Abu Zanad dan al Araj dari Abi Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Siapa yang menghampakan harapan orang yang berharap kepadanya, Allah akan menghampakan harapannya pada hari Qiamat kelak (tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga)."Terima kasih. Cukuplah bagiku Hadis ini dan semoga Allah akan menyampaikan harapanmu kelak," kata Imam Hanbali dengan tersenyum. Lantas beliau kembali semula ke Baghdad.

Imam Habali juga dikurniai Allah minat terhadap ilmu. Dengan kecerdasan otaknya, dia mudah menguasai ilmu yang dipelajarinya. Malah beliau masih meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang ilmu walaupun ketika itu beliau sudah mengajar dan bergelar seorang Imam yang ramai pengikutnya. Nyata bahawa sikap beliau terhadap ilmu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad".

Imam Hanbali banyak menghabiskan masanya menghadiri majlis ilmu yang dipimpin oleh Imam Syafi'i kerana Imam Syafi'i memiliki ilmu yang luas tentang Hadis dan sanadnya serta ilmu Usul Fiqh yang pada masa itu tidak ada pada orang lain. Beliau mempunyai keinginan yang kuat untuk mencari dan menghimpunkan seberapa banyak Hadis khazanah ilmu.
Sebab itu bila sahaja beliau mendengar berita bahawa ada seorang ahli Hadis di sebuah negeri, beliau pun bekerja ke sana tanpa memikirkan kesusahan dan cabarannya. Tidak hairanlah, khazanah Hadis yang dimiliki Imam Hanbali tidak terkira banyaknya. Dan berkat kegigihannya tersebut ramai ulama berkata bahawa beliau berjaya mencungkil banyak hadis. Sekiranya tidak diusahakan oleh beliau, mungkin hadis tersebut terpendam begitu sahaja.

Imam Hanbali dikatakan pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan di dalam mimpi itu beliau berkata kepada baginda: "Dapat kiranya tuan mendoakan saya semoga saya diselamatkan Allah dari seksa-Nya di akhirat kelak."

Maka Rasulullah pun menjawab: "Aku memang telah mendoakan engkau demikian."

Imam Hanbali bertanya, "Bila ya Rasulullah?"

Jawab Nabi, "Sejak engkau menghidupkan sunnahku, padahal ianya telah dipendamkan oleh para ahli bid'ah."

Ketika hampir wafat, beliau telah membacakan semua hadis yang menjadi hafalannya untuk ditulis oleh pengikut dan anak muridnya. Apabila kertas yang telah ditulis dengan hadis tersebut dikumpulkan, ia cukup untuk muatan 12 ekor unta.

B i o d a t a

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal yang bersambung nasabnya dengan Rasulullah dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabi'ul Awal tahun 164 Hijrah, kira-kira 14 tahun selepas Imam Syafi'i dilahirkan. Kedua orang tuanya berasal dari Iran, kemudian berpindah dan menetap di kota Baghdad yang ketika itu merupakan pusat pemerintahan dan pengembangan ilmu pengetahuan Islam yang terkenal.

Sepertimana Imam Syafi'i, beliau dibesarkan dan diasuh oleh ibunya, kerana ayahnya telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Beliau mula menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu hadis sewaktu berusia 16 tahun. Dari kota Baghdad, beliau mengembara hingga ke Kufah, Basrah, Syam, Yaman, Makkah dan Madinah. Di samping belajar, beliau juga membuat kerja-kerja untuk menyara hidupnya. 


Walaupun ingatan beliau begitu kuat, beliau tetap menulis ilmu yang diperolehinya. Baginya seburuk-buruk catatan adalah lebih baik dari sekuat-kuat ingatan kerana tulisan boleh diwariskan kepada generasi akan datang sedangkan ingatan adalah untuk diri sendiri.

     
Meskipun telah bergelar ulama besar dan mempunyai murid yang begitu ramai, beliau terus-menerus belajar. Ketika ditanya sampai bilakah beliau akan belajar, dengan spontan beliau menjawab, "Dari hujung pena sampai ke liang lahad". Antara guru-guru beliau yang terkenal Husyaim bin Basyir, Imam Syafi'i, Imam Waqi' (guru Imam Syafi'i) dan Imam Abu Yusuf al-Qadhi (murid Imam Abu Hanifah).

     
Dalam usia 40 tahun, Imam Hanbali mula mengajar. Beliau amat tegas terhadap orang-orang yang melakukan bid'ah dan kemungkaran sekalipun orang itu dianggap sebagai ulama oleh masyarakat.

     
Kerana ketegasannya itu, beliau telah dipenjara dan diseksa oleh Khalifah al-Makmum yang terpengaruh dengan fahaman Muktazilah yang berpendapat al-Quran itu adalah baharu dan makhluk Allah. Fahaman ini bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang meyakini bahawa al-Quran bukan makhluk tetapi adalah Kalamullah. Walaupun diseksa, keyakinan beliau tidak sedikitpun terjejas.

     
Hanya ketika pemerintahan al-Mutawakkil barulah penyeksaan ke atas Imam Hanbali dihentikan, iaitu setelah 14 tahun beliau diseksa.

     
Sebenarnya Imam Hanbali telah memperolehi isyarat bahawa beliau akan mengalami penyeksaan sedemikian rupa. Imam Syafi'i yang merupakan guru beliau telah bermimpi bertemu Rasulullah. Baginda memberitahu bahawa Imam Hanbali akan menghadapi ujian yang berat berikutan fitnah yang berlaku ke atas umat Islam. Tidak hairanlah kenapa beliau begitu tabah dan sanggup berhadapan dengan ujian berat sedemikian rupa.

     
Setelah keluar dari penjara, Imam Hanbali terus mengajar walaupun beliau sering sakit. Tujuh tahun kemudian iaitu pada 12 Rabi'ul Awal tahun 241H, beliau meninggalkan dunia yang fana ini menuju cintanya, Allah yang Maha Esa ketika berusia 77 tahun.

Pujian-pujian ulama kepada Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Syafi'i: Tidak seorang pun yang lebih arif mengenai hukum, berhati-hati menjaga diri sendiri dan paling kuat beragama melainkan Imam Ahmad setelah aku keluar dari kota Baghdad.

Imam Qutaibah bin Said: Sekiranya tidak ada Imam Hanbal, nescaya berkembanglah bid'ah.

Imam Ahmad bin Syaiban: Aku tidak pernah melihat Imam Yazid bin Harun (seorang guru Imam Ahmad) menghormati muridnya seperti dia menghormati Imam Ahmad bin Hanbal. Dia amat senang melihat Imam Ahmad duduk di sebelahnya ketika dia membacakan hadis.

Imam Ibnu Uwais: Selama Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup ilmu hadis masih unggul.

Imam Ibrahim bin Harbi: Ketika saya melihat Imam Ahmad dan mendengar pertuturannya, seolah-olah Allah menghimpunkan pada dirinya pengetahuan ulama-ulama dahulu dan ulama akan datang.


Dipetik dari:
Dunia Baru (Mei 1996) oleh Syahrul Fadzil Sarif

...................................................................................................................

Puisi: Hari Ini 10 Muharram

Hari ini 10 Muharram
hari Nabi Adam a.s dan Siti Hawa

Hari ini 10 Muharram

Nabi Adam diampun Allah

Hari ini 10 Muharam

taubat Nabi Daud diterima Allah.

Hari ini 10 Muharram
Nabi Ibrahim a.s menentang Namrud yang zalim

dan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup

tapi berkat mukjizatnya, gejolak api menjadi dingin.

Hari ini 10 Muharram
merakam sedikit peristiwa para nabi

Nabi Yunus a.s bersemadi selama 40 hari di dalam perut ikan Nun

kifarah atas "dosanya" meninggalkan kaumnya

Hari ini 10 Muharram

Nabi Yunus keluar dari perut ikan Nun.

Hari ini 10 Muharram
Nabi Allah Ayub a.s diuji oleh Allah selama 7 tahun

setiap inci dagingnya gugur digigit ulat-ulat

tulang-tulang saja yang tinggal

bersama sekeping hati dan lidah

yang tidak digigit ulat kerana zikirnya pda Allah

Hari ini 10 Muharram

penyakit Nabi Ayub disembuhkan Allah

Hari ini 10 Muharram
Nabi Musa a.s membelah Laut Merah

dengan tongkat mukjizatnya

Firaun dan tenteranya tenggelam ditelan laut yang terbelah

Hari ini 10 Muharram
mata Nabi Yaakub a.s yang buta celik semula

dan pertemuan dengan puteranya, Nabi Yusuf

dan hari ini 10 Muharram

Nabi Yusuf a.s bebas dari penjara

akibat fitnah seorang perempuan

Hari ini 10 Muharram
Nabi Nuh a.s dengan kaumnya 

terselamat dari ancaman banjir besar setinggi gunung

dan bahteranya terdampar di Bukit Judi

Hari ini 10 Muharram
Nabi Isa a.s selamat dari tiang pensaliban Yahudi

Hari ini 10 Muharram
Karbala dibanjiri sungai darah Sayidina Hussin

Muslim bin Uasajah dan Abdullah bin Umar 

gugur sebagai syuhada Karbala

panah Syimar, pedang Zara

dan kepala Sayidina Hussin terputus dari tubuhnya

dan jenazah baginda diinjak-injak oleh ratusan kaki kuda

Hari ini 10 Muharram

alam terpaku kaku selama 7 hari

bayang mentari di padang pasir

seumpama kain berwarna kuning tua

dan bintang-bintang seolah-olah berlaga

Hari ini 10 Muharram
mentari gerhana di kaki langit selama 6 bulan

jin-jin menangis, meraung, meratapi

wafatnya Sayidina Hussin, syuhada Karbala

Hari ini 10 Muharram
mari kita mengangkat doa

berdoa bermunajat kepada Allah

di bawah sujud tahajjud Qiamullail:

"Ya Allah, jangan mengalir lagi darah Karbala.

Ya Allah, jangan berulang lagi sejarah berdarah,

air mata kota Baghdad

menjadi rata bersama bumi

Ya Allah, jangan lahir lagi

Genghiz Khan dari Monggol

dan cucunya Hulagu Khan

di zaman Islam dagang ini

ratusan ribu kitab dibakar

ulama-ulama disembelih bersama 800 000 yang lain

mayat-mayat kaum Muslimin dan tengkorak mereka

dibina oleh Hulagu menara tugunya

kehancuran kota Baghdad dan khalifah Muktasim

Ya Allah, jangan berulang lagi.

Hari ini 10 Muharram
hari Asyura

Dipetik dari: Dunia Baru (Mei 1996) oleh Haji Ali Haji Ahmad

...................................................................................................................

Riwayat tentang kepala Sayidina Husein r.a yang syahid di Karbala

Tragedi gugurnya al-Husein r.a secara mengerikan itu mendorong tokoh-tokoh riwayat dan para penulis sejarah Islam untuk mengadakan penyelidikan. Hasil dari penyelidikan dan pengamatan yang mereka lakukan setelah terjadinya peristiwa itu, mereka tuangkan dalam tulisan-tulisan berupa riwayat menceritakan berbagai akibat setelah terjadinya pemenggalan kepala cucu Rasul Allah s.a.w.

Seorang penulis Islam kenamaan, Ibnu Hajar, dalam bukunya berjudul "Ash-Shawa'iqul-Kuhriqah" halaman 116, mengungkapkan bahawa sepeninggalan al-Husein r.a. ternyata tak ada seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan itu, yang terhindar dari seksa dunia setimpal dengan perbuatannya. Ada yang mati terbunuh, ada yang buta dan ada pula yang secara tiba-tiba mukanya berubah warna menjadi hitam lebam. semuanya itu terjadi dalam waktu tak seberapa lama sejak al-Husein r.a. wafat.

Dalam bukunya yang berjudul "Tahdizibut-Tahdzib" Jilid II halaman 335, Ibnu Hajar juga mengetengahkan kisah an-Numairiy yang berasal dari 'Ubaid bin Jinadah. Kisah tersebut mengungkapkan peristiwa yang dialami seorang tua yang pernah melibatkan diri dalam pembunuhan terhadap al-Husein r.a. Orang tua itu membusungkan dadanya hanya kerana merasa terlibat langsung dalam pembunuhan terhadap al-Husein. Dengan bangga ia mengatakan: "Lihatlah, aku tetap selamat... tak ada bencana apapun yang menimpa diriku!" Tak lama setelah ia mengucapkan perkatan tersebut, lampu minyak berada tidak jauh dari tempat duduknya tiba-tiba memudar. Dikiranya sumbu lampu itu hampir habis. Ia segera bangkit dari tempat duduknya mendekati lampu untuk berusaha memperbaiki sumbunya. Pada saat ia sedang menarik sumbu, api yang semulanya tampak hampir padam tiba-tiba membesar kembali dan membakar jari-jarinya. ia berusaha keras memadamkan api yang menyala di tangannya, tetapi tidak berhasil, bahkan api menjalar ke bagian-bagian tangannya yang berlumuran minyak. Dalam keadaan panik ia mencuba memadamkan api dengan memasukkan tangan ke dalam mulut, tetapi malang... api bukan menjadi padam malah menyambar janggutnya yang telah memutih tetapi masih cukup lebat. Mukanya terbakar dan ia melolong-lolong kesakitan. Akhirnya api membakar pakaian yang sedang dikenakannya sehingga seluruh tubuhnya turut terbakar. Bagaikan sebuah obor besar ia lari kebirit-birit keluar dari rmah menerjunkan diri ke dalam Sungai al-Furat yang tidak seberapa jauh letaknya. Beberapa saat lamanya ia tidak muncul di atas permukaan air. Banyak orang menunggu-nunggu di tepi sungai ingin menyaksikan apa yang sedang terjadi pada diri orang tua itu. Ketika ia muncul di permukaan air, ternyata telah mati dan tubuhnya hangus seperti gumpalan arang.

Kebenaran kisah tersebut diperkuat oleh serajahwan Muslim terkenal, at-Thabariy, dalam bukunya yang berjudul "Dzakha'irul-'Uqba" halaman 145.

Dalam buku yang sama, Ibnu Hajar juga mengemukakan sebuah riwayat tentang pembunuh al-Husein r.a. Peristiwanya terjadi ketika si pembunuh itu menyerahkan kepala cucu Rasul Allah s.a.w. kepada 'Ubaidillah bin Ziyad, penguasa daerah Kufah. Kerana besar harapan akan memperoleh ganjaran istimewa, si pembunuh itu menyerahkan kepala al-Husein r.a. sambil bersyair:

Akan tetapi ketika Ibnu Ziyad mendengar bait terakhir dari syair itu, dengan marah ia menukas: "Kalau engkau mengetahui kemuliannya itu, mengapa ia kau bunuh? Tidak, demi Allah, engkau tidak akan mendapat ganjaran baik dari aku. Malah engkau kuikut-sertakan bersama dia!"

Habis mengucap kalimat-kalimat tersebut, Ibnu Ziyad langsung memerintahkan salah seorang pengawal untuk membunuh orang yang baru saja mendendangkan syair dengan harapan akan menerima ganjaran besar.

Ada baiknya juga jika kami kemukakan juga riwayat lain lagi, yang ditulis oleh Ibnu Hajar dalam buku yang sama halaman 119. Peristiwanya terjadi ketika 'Umar bin Sa'ad bersama pasukannya membawa kepala al-Husein r.a. ibnu Hajar menulis sebagai berikut:

"Setiap berhenti di suatu tempat untuk beristirehat, para pengawal kepala al-Husein r.a. selalu menancapkan kepala itu pada ujung tombak. Seorang pendita Nasrani yang bertempat tinggal di sebuah biara yang dilewati rombongan, terkejut melihat sebuah kepala manusia tertancap pada ujung tombak, ia lalu bertanya ingin mengetahui siapakah orang yang dipenggal kepalanya itu. Ketika mendapat jawapan bahawa kepala itu adalah kepala al -Husein r.a. putera Siti Fatimah binti  Rasul Allah s.a.w. dengan marah ia menyahut: "Alangkah buruk perbuatan kalian!" Saat itu juga ia minta agar kepala al-Husein r.a. boleh disemayamkan semalam di dalam biaranya. "Untuk itu aku sedia membayar 10,000 dinar!", katanya lebih lanjut. Tentu saja permintaan pendita itu diterima baik oleh Sa'ad dan rombongannya. Kepala al-Husein r.a. segera dibawa masuk oleh pendita itu ke dalam biara, kemudian dicuci bersih-bersih dan diberi wewangian secukupnya. Semalam suntuk kepala itu dipangkunya sambil menangis hingga pagi hari. Keesokan harinya pendita itu langsung menyatakan diri masuk Islam, karena pada malam harinya ia menyaksikan cahaya terang memancar ke langit dari kepala al-Husein r.a. Setelah memeluk Islam, ia meninggalkan biaranya dan hingga akhir hidupnya ia merelakan diri bekerja sebagai pembantu Ahlul-Bait... Demikianlah menurut Ibnu Hajar. Dengan sekelumit riwayat yang kami kutip dari penulis Islam terkenal itu, terbuktilah bahawa tindakan pembunuhan sewenang-wenang terhadap cucu Rasul Allah s.a.w. mendorong semangat para penulis sejarah untuk mengungkapkan lebih jauh peristiwa yang menyedihkan itu.

Dipetik dari: Buku "Al Husain bin Ali r.a: Pahlawan Besar dan Kehidupan Islam pada Zamannya" halaman 373 karangan H.M.H. Al Hamid Al Husaini terbitan Klang Book Centre

...................................................................................................................

CHINA: Islam Terus Hidup

Tarikh tepat kemasukan Islam ke negeri China tidak dapat dipastikan, namun ada ahli sejarah mengatakan bahawa agama Islam telah sampai ke China sekitar tahun 9 hingga 14 Hijrah, diketuai oleh seorang sahabat Rasulullah bernama Saad Lebid.

Beliau berdakwah kepada masyarakat China berbekalkan taqwa dan akhlak mulia, sehingga Islam bertapak di sana tanpa berlakunya pertumpahan darah. Salah seorang yang berjuang bersama-sama beliau bernama Yusuf. Kini lebih seribu tahun berlalu, masih ada orang China yang menggunakan nama awalan Saa Yu (asal dari nama Saad dan Yusuf) - satu tanda bahawa kedua-dua tokoh ini begitu dihormati, disanjungi serta diterima oleh masyarakat China.

Namun begitu, ahli sejarah sepakat menyatakan bahawa agama Islam mula disebarkan secara meluas dan rasmi ke Negeri China pada zaman pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada masa itu, China diperintah oleh Maharaja Yung Wei dari Dinasti Tang. Amirul Mukminin telah mengutuskan Saad bin Abi Waqqas (salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin Syurga) bersama 15 orang yang lain.

Walaupun Maharaja Yung Wei sendiri tidak menerima Islam, kehalusan budi pekerti Saad r.a. dan anggota rombongannya menyebabkan baginda yakin Islam adalah agama yang baik, lalu baginda memberi kebebasan kepada mereka untuk berdakwah dan mendirikan masjid.

Seruan Islam mudah diterima oleh masyarakat China tempatan. Pakar sejarah memberikan dua sebab mengapa ini berlaku. Pertama, ajaran Islam sangat sesuai dengan jiwa mereka yang begitu menyanjung tinggi keluhuran budi dan akhlak seperti yang terdapat dalam ajaran Confucius - sebuah ajaran yang dibawa oleh Kung Fu Tze yang mana ada ulama yang mengatakan dia mungkin seorang nabi atau rasul.

Sebab yang kedua ialah mubaligh-mubaligh Islam merupakan orang yang sangat berakhlak dan menjadi contoh kepada seluruh manusia pada waktu itu.

Saad bin Abi Waqqas r.a. lama tinggal di China sehingga usianya lanjut dan meninggal dunia. Jenazahnya yang mulia dimaqamkan di Kwangchou. Di sisi maqam itu didirikan masjid yang hingga kini dikenali sebagai Masjid Saad bin Abi Waqqas. 

Perkembangan Islam

Perkembangan Islam di negeri China terus berjalan lancar. Semasa pemerintahan Bani Umayyah, Qutaibah bin Muslim r.a. telah berjaya mengembangkan Islam sampai ke perbatasan Negeri China di Timur Laut. pada tahun 710-712 Masihi, Khalifah al-Walid menghantar seorang duta ke Negeri China. Seterusnya pada masa pemerintahan Khalifah Hisyam, baginda mengutuskan seorang utusan bernama Sulaiman kepada Maharaja Hsuan Tsung.

Semasa pemerintahan Bani Abbasiyah pula, perhubungan diplomatik antara Negeri China dan negara Islam bertambah erat. Khalifah al-Mansur telah menghantar bantuan tentera apabila Maharaja China, Su Tsung, merayu bantuan untuk menghadapi pemberontakan di wilayah Si Ngan dan Honan. Ternyata strategi ini merupakan serampang dua mata. Setelah pemberontakan berjaya dipatahkan, tentera Islam terus menetap di China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Ini menguatkan lagi ikatan persaudaraan masyarakat Islam yang telah pun terbina dari zaman Sahabat lagi.

Strategi seperti ini pernah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menguatkan Islam. Terbukti keberkesanannya dalam zaman tiga dinasti yang memerintah selepas itu iaitu Dinasti Tang, Sung dan Yuan; dengan munculnya ramai tokoh Islam teremuka. Waktu itu juga China menjadi pusat perdagangan yang terkenal, dan kemuncaknya berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid pada tahun 786-809 Masihi.

Apabila kuasa pemerintahan Negeri China jatuh ke tangan orang-orang Monggol, umat Islam China tetap tidak tergugat, malah semakin dapat menyerap masuk dalam jentera pemerintahan bangsa Monggol yang terkenal ganas itu. Ini menunjukkan bahawa Islam yang telah menjadi amalan dan pakaian diri penganutnya itu, sukar dapat dihapuskan oleh mana-mana kuasa di dunia ini. Sifat taqwa dan akhlak mulia yang ada pada umat Islam dapat diterima oleh mana-mana manusia dan agama.

Sebab itulah sewaktu pemerintahan Kublai Khan, dicatatkan bahawa 8 daripada 12 gabenornya adalah beragama Islam. Pengaruh mereka sangat kuat sehingga pada tahun 1335, kerajaan Monggol mengakui dan mengiktiraf bahawa agama Islam adalah satu agama yang suci. Bukti ini jelas dicatatkan oleh Ibnu Bathutah semasa mengunjungi Negeri China. Bathutah menulis: "Di setiap kota terdapat satu wilayah khusus bagi orang Islam, mereka sangat dimuliakan dan dihormati oleh penduduk China yang lain".

Kerajaan Monggol akhirnya diambil alih oleh Dinasti Ming pada tahun 1368 setelah berkuasa selama 90 tahun di China. Dinasti Ming juga dpecayai adalah dinasti orang Islam. Pengasas dinasti ini, Ming Tsai Tsu dan permaisurinya adalah penganut agama Islam. Maharaja Ming telah mengarang seratus bait syair memuji Rasulullah s.a.w. yang sehingga sekarang masih terukir dalam sebuah masjid di Nanking. Namun fakta ini sengaja disembunyikan oleh para orientalis.

Boleh jadi juga pemerintah Dinasti Ming lebih mementingkan soal pengamalan Islam, daripada mengisytiharkan Islam sebagai agama istana. Semasa pemerintahan Ming ini, China menjalankan pemerintahan secara Islam yang mana pemerintah telah menguatkuasakan hukum-hukum Islam. Pada waktu ini juga diutus negarawan Islam yang bernama Laksamana Syed Cheng Ho ke negara-negara Pasifik Selatan termasuk Gagasan Kepulauan Melayu, India, Arab dan Afrika Timur.Cheng Ho yang merupakan keturunan ketujuh daripada Syed Saini Syamsudin, seorang pegawai Islam berbangsa Arab yang pernah menjawat jawatan Gabenor di Yunan adalah 'master-mind' yang mengeksport kebangkitan Islam di Negeri China ke luar negeri melalui perdagangan, ketenteraan, hubungan diplomatik dan perkahwinan. Rupa-rupanya Islam telah dibawa ke Tanah Melayu antaranya oleh orang-orang Cina!

Kejatuhan Islam

1949 merupakan tarikh rasmi Komunis menguasai pemerintahan di China. Pemberontakan atau Revolusi Kebudayaan yang diasaskan oleh Mao Tze Tung pada 1966 menghapuskan semua amalan agama. Tokong-tokong Buddha dan masjid-masjid umat Islam turut dirobohkan.

Terdapat beberapa petunjuk mengenai sebab-sebab kejatuhan Islam di China. Patung-patung binatang masih kelihatan di bumbung masjid yang wujud hingga ke hari ini. Ini membuktikan yang tiada ulama dan atau pemimpin Islam di China yang menegur kemungkaran ini. Hadis Rasulullah s.a.w ada mengatakan:
    "Dua golongan dari umatku yang mana kalau mereka baik maka baiklah semua manusia. Dan kalau mereka rosak, nescaya rosaklah semua manusia. Iaitu pemimpin dan ulama".
    (Riwayat Ibnu Abdil Barr)
Setakat ini, memang tidak ada nama seorang tokoh ulama China pun yang tercatat dalam sejarah. Kebanyakan ulama yang ada adalah dari luar negara.

Masa depan Islam di China

Umat Islam yang diperintah oleh rejimkomunis di China mengalami nasib yang sangat berbeza dari rakyat China yang lainnya. Antaranya, mereka mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih kukuh. Di Ninxiang umpamanya, umat Islam berbangsa Hui berjaya menguasai kegiatan ekonomi dan ini menyebabkan mereka terus dihormati.

Akhlak Islam yang mereka warisi dari nenek moyang dahulu seperti lemah lembut, tidak suka bergaduh, suka melayan tetamu dan lainnya serta kemampuan untuk berdikari, menyebabkan pemerintah memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu seperti kebenaran untuk memiliki anak lebih daripada satu (penduduk lain hanya dibenarkan untuk mempunyai seorang anak sahaja).

Selain itu 'watak' umat Islamnya tidak berubah walaupun telah lebih suku abad berada di bawah rejim komunis. Tetapi ideologi komunis telah menukarkan orang China yang asalnya lemah-lembut (kerana pengaruh ajaran Confucius yang dikatakan ada kemungkinan berasal dari agama wahyu) kepada kasar dan keras hati.

Setelah Mao Tze Tung (pengasas Pemberontakan Kebudaaan) mati pada tahun 1976, rakyat China diberikan kebebasan untuk beragama. Namun sehinga kini, tidak ada tanda-tanda yang agama Buddha yang lain-lain yang telah dihapuskan dahulu akan kembali subur - melainkan agama Islam. Masjid-masjid kini kembali meriah terutamanya di wilayah-wilayah Islam Yunan dan Ningxia. Kalau dengan dasar tertutup kerajaan komunis China, Islam masih mampu bertahan, sekarang amalan-amalan Islam pasti lebih berpotensi untuk cepat berkembang. Buktinya umat Islam telah bertambah secara mendadak daripada 50 juta sebelum tahun 1976 kepada 115 juta sekarang.

Pemberontakan menuntut demokrasi di Medan Tiananmen pada tahun 1989 membuktikan rakyat China sudah mula menentang ideologi komunis. Ideologi komunis memang tidak boleh bertahan lama kerana ia menentang fitrah semulajadi manusia untuk bertuhan. Rejim Komunis China kini semakin menunjukkan  tanda-tanda kemerosotan. Antaranya alah krisis ujian dan latihan ketenteraan di perairan Taiwan yang sudah menjadi isu antarabangsa an kebuntuan mencari pengganti Deng Xiao Ping (orang yang dikatakan bertanggungjawab memulihkan ekonomi China) yang semakin teruk kesihatannya. Satu vakum kepimpinan akan berlaku dan apakah alternatifnya?

Walau apapun corak kepimpinan yang bakal mengganti, umat Islam perlu mengambil peluang ini untuk mengembangkan Islam melalui pendekatan kasih sayang. Hati setiap orang yang sudah lama terkapai-kapai tanpa pergantungan kepada Tuhan itu sangat hauskan pimpinan dan petunjuk. Kalau betul cara pendekatan dakwah yang dilakukan, tidak mustahil orang China akan berbondong-bondong memeluk Islam.

Sekarang ini, China sudah pun diramalkan sebagai pengganti kuasa ekonomi dunia akan datang. Apatah lagi kalau keseluruhan penduduk China mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran Islam seperti rajin, jujur dan amanah (seperti yang dilihatkan oleh umat Islam di Ningxia dan Yunan), ekonominya tentu akan lebih meningkat. Andaikata ini berlaku, pastilah China akan mengulangi sejarah kegemilangannya sebagai sebuah pusat perdagangan dunia sewaktu zaman pemerintahan Khalifah harun ar-Rasyid dahulu.

Dipetik dari: Dunia Baru (Mei 1996) oleh Nadia Ismail

...................................................................................................................

Bertawasul Di Saat Genting

Sudah menjadi fitrah manusia, apabila menghadapi kesusahan, ketegangan atau saat kegentingan, dia akan gelisah dan bimbang tidak menentu. Bagi yang tidak nampak jalan penyelesaian, akan putus asa dan kecewa sehingga dia marah kepada Allah dan putus harap dengan Allah.

Bagi yang dapat mengawal dirinya, dia akan sabar dan meredhai apa yang berlaku seterusnya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah, mengharap rahmat Allah. Mengharap bantuan Alah dan pertolongan-Nya di saat genting itu dia akan  menyebut Rasulullah, orang-orang soleh, amalan-amalannya yang baik agar dipandang Allah, lalu menyatakan hasrat dan rintihan hatinya. Banyak dalil-dalil yang menunjukkan adanya tawasul dalam Islam. Allah sendiri mengajar kita agar bertawasul untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Firman Allah yang
bermaksud: "Hai orang-orang beriman, hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah dan carilah wasilah (jalan atau cara) yang mendekatkan (diri kalian) kepada-Nya."
Surah Al-Maa'idah: 35

Memang nyata dengan bertawasul cepat mendapat bantuan Allah. Bertawasul juga merupakan usaha terakhir yang berkesan. Nabi Adam a.s yang telah melakukan dosa melanggar larangan Allah, telah bertahun-tahun lamanya menangis meminta keampunan Allah, tetapi tidak diterima.
Sehinggalah Nabi Adam bertawasul kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Setelah Nabi Adam terbuat dosa memakan buah khuldi, dia berkata kepada Tuhannya: "Ya Tuhanku, dengan kebenaran Nabi Muhammad SAW, aku mohon ampunan-Mu."

Allah bertanya: "Bagaimana engkau mengenal Muhammad pada hal dia belum Aku ciptakan?"

Nabi Adam menjawab: "Ya Tuhanku, setelah Engkau menciptakan aku dan meniup roh ke dalam jasadku, kuangkat kepalaku, kulihat pada tiang-tiang 'Arasy termaktub kalimah La Ilaha Il lallah Muhammadar Rasulullah. Sejak itu aku mengetahui di samping nama-Mu selalu terdapat nama makhluk yang tentu Engkau cintai".

Allah menegaskan: "Hai Adam, engkau benar. Dia memang makhluk yang paling Aku cintai. Berdoalah kepada-Ku dengan kebenarannya, engkau pasti Ku-ampuni. Kalau bukan kerana Muhammad engkau tidak Kuciptakan."

Begitulah Allah akan memandang dan menolong mereka yang menyebut orang-orang yang dicintai-Nya. Jadi kita yang banyak dosa dan selalu lalai dengan Allah, sudah sepatutnya bertawasul dengan orang-orang yang Allah cintai, iaitu orang-orang yang taat dan hatinya dekat dengan Allah, cinta dan takut akan Allah. Berkat daripada itu semoga kita akan mendapat perhatian dan pertolongan Allah. Tawasul dengan Rasulullah SAW adalah sesuatu yang digalakkan kerana beliaulah penolong umat manusia, yang bakal memberi syafaat di akhirat kelak.

Dalam hal bertaubat memang perlu bersungguh-sungguh supaya ia pasti Allah ampunkan dan dosa itu tidak diperhitungkan di akhirat kelak. Untuk kita bertaubat sungguh-sungguh, mengaku dan menyesal di hadapan Allah, bertawasullah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh para sahabat.

Al-Utbah bercerita: "Pada suatu hari ketika aku duduk bersimpuh di makam Rasulullah SAW, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi. Di depan makam itu beliau berkata: "Assalamualaika Ya Rasulullah. Aku telah mengetahui bahawa Allah telah berfirman: "Sesungguhnya ketika mereka berbuat zalim terhadap diri mereka sendiri, segera datang kepadamu (hai Muhammad) kemudian memohon ampunan kepada Allah dan Rasul pun memohonkan ampunan bagi mereka, tentulah mereka akan mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". Sekarang aku datang kepadamu, ya Rasulullah, untuk mohon ampunan kepada Allah atas segala dosaku, dengan syafaatmu, ya Rasulullah..." Setelah mengucapkan kata-kata itu, dia lalu pergi. Beberapa saat kemudian Al-Utbah tidur dan dalam tidurnya, ia bermimpi melihat Rasulullah berkata: "Hai Utbah, susulilah segera Badwi itu dan beritahukan kepadanya bahawa Allah telah mengampuni dosa-dosanya."

Sudah sepatutnya kita bertawasul untuk memohon ampun, memohon hajat dan lain-lain untuk kebaikan, dengan menyebut orang-orang yang Allah cintai, yang Allah kasihi, dan dimuliakan, dengan itu moga-moga doa kita cepat mendapat perhatian dan diterima serta dimakbulkan. Doa kita tidak terjamin makbulnya lantaran kita masih banyak dosa, menjadi hijab dengan Allah. Perbandingannya samalah seperti kita hendak mengadap raja atau meminta sesuatu hajat dari raja, mestilah melalui menteri-menterinya atau kenalan raja, baru mudah untuk bertemu dan mendapat perhatiannya.

Di antara contoh-contoh untuk bertawasul ialah: "Ya Allah, aku bertawasul dengan Nabi dan Rasul-Mu, mohon kepada-Mu..." Seterusnya sebutkanlah apa-apa yang dihajati. Contoh yang lain: "Ya Allah, aku mencintai si Fulan, aku yakin dia seorang yang mencintai-Mu, ikhlas kepada-Mu dan mengabdikan diri kepada kebenaran-Mu. Ya Allah, aku pun yakin bahawa Engkau mencintainya dan redha kepadanya. Kerana itu dengan kecintaanku kepadanya dan dengan keyakinanku akan keutamaannya, aku bertawasul mohon ampunan dan rahmat-Mu..." dan seterusnya sebutkan apa yang dihajati. Boleh juga bertawasul dengan amalan baik kita dengan berkata: "Ya Allah, aku telah melakukan sesuatu yang Engkau sukai, berkat dari amalanku itu aku bermohon..."

Berdoa dengan bertawasul adalah sunat, bermakna ia mendapat pahala disebabkan bertawasul, menambahkan kecintaan kepada Rasulullah dan orang-orang yang Allah muliakan. Ia juga mendorong untuk kita menjadi baik dan mencontohi orang-orang yang Allah muliakan itu. Di samping hajat kita terjamin ditunaikan, kita mendapat ketenangan dengan usaha-usaha kita tanpa putus asa dengan rahmat Allah.

Begitulah hakikatnya seorang yang beriman, doa menjadi senjatanya. Yakin dengan janji Allah dan gembira dengan apa yang Allah suka. Bertawasul dengan orang yang Allah kasih itu sebagai tanda ia menyenangkan Allah.

Dipetik dari: Al Mukminah  (Julai 1988) oleh Habshah Yeob

...................................................................................................................
++Senarai Artikel
Tuntutan tanggungjawab terhadap Ahlul-Bait dan kafa'ahnya

Fatwa dari seorang ulama besar dan Mufti rasmi Kerajaan Saudi Arabia, Al-Allamah Al-Mufti Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz berkenaan dengan keutamaan Ahlul-Bait

Pokok-pokok pengertian yang melandasi kewajipan mencintai dan menghormati Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. dan keturunannya

Wasiat dan nasihat kepada Ahlil Bait

Thariqah Para Salaf Kita

Menjaga kesabaran hati oleh Syeikh Abu Bakar bin Salim

Rasulullah S.A.W: Role Model Sepanjang Zaman

Imam Hanbali: Hafalan Hadisnya Sebanyak Muatan 12 Ekor Unta

Puisi: Hari Ini 10 Muharram

Riwayat tentang kepala Sayidina Hussein r.a yang syahid di Karbala

China: Islam Terus Hidup

Bertawasul di saat genting

Artikel-artikel majalah yang dikumpul untuk tatapan bersama

"Nyatakanlah wahai Muhammad, aku tidak meminta upah apapun dari kamu atas da'wah risalah yang kusampaikan selain agar kalian cinta kepada kaum kerabatku (keluarga Nabi SAW)". As-Syuro: 23